Friday, May 2, 2008

Kaedah mendidik anak

Terdapat 2 cara yang ditemui untuk membentuk minda kanak-kanak.

1. Brainy Gym

Satu program yang menjadikan aktiviti gerakan anggota-anggota badan sebagai perangsang dalam peningkatan kemampuan minda. Ia dapat memperbaiki keupayaan minda untuk memberi tumpuan, mengingat, kebolehan berbahasa dan mengira, membaca, menulis, bertutur, bersukan, dan lain-lain.

Kaedah hasil kajian klinikal seorang juruterapi dari Amerika Syarikat; Dr. Paul E. Denisson yang pada asalnya mencari formula bagi membantu mereka yang lumpuh keupayaan belajar dapat membantu mengaktifkan pelbagai fungsi kognitif termasuk komunikasi dan pengurusan. Ia menyediakan otak dan keseluruhan sistem saraf agar dapat berfungsi secara optima dalam apa jua bidang; intelektual, kretiviti, kesukanan dan interpersonal.

Aktiviti pembelajaran yang berlaku apabila otak dan keseluruhan sistem saraf pada tubuh telah bersedia dapat menghasilkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan kurang tekanan serta dapat memberi ruang untuk menyerlahkan kreativiti.

2. Kaedah Shichida : Melatih Otak Kanan

Kepercayaan bahawa manusia dilahirkan genius mendorong Profesor Makoto Shichida untuk menghasilkan kajian dalam pendidikan awal kanak-kanak. Kaedah ini menyarankan kita agar merangsang perkembangan otak kanan sejak di peringkat awal; bermula dari dalam kandungan lagi. Perkembangan otak kanan biasanya agak sukar dirangsang setelah otak kiri mula berkembang bilamana kanak-kanak sudah mula belajar ilmu fakta. Kaedah Shichida percaya bahawa minat dan keupayaan untuk belajar adalah lebih penting daripada ilmu fakta.

Kaedah ini percaya bahawa otak kanan mempunyai keupayaan tersendiri yang meliputi keupayaan menyimpan imej yang lengkap dalam sekali pandang, di samping mengawal kebolehan untuk melihat imej tersebut dalam bentuk fizikalnya. Otak kanan mempunyai kemampuan untuk melihat, mendengar, merasa, bau, dan menyentuh dalam bentuk gelombang yang kemudiannya ditafsirkan ke dalam bentuk imej.


(dengan ihsan http://blog.abiummi.com)


No comments: